Monday, May 23, 2011

Panduan Solat Qasar Dan Jama'

















Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut :

1.0 Solat Qasar

1.1 Takrifan :

      Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat
      iaitu Zuhur, Asar dan Isya’  kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan
      solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar :

      Harus berdasarkan kepada dalil berikut :

      i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;“Dan apabila kamu musafir
        di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan)
        solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”


     ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

       ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab,
       “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam
       keamanan?”Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w.,
       dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah
       bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” 
       (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

1.3  Jarak Dibenarkan Qasar :

      Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai
      empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut
      kiraan moden. Dari itu,dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4  Syarat Solat Qasar :

      i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
      ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah 
          (89 kilometer / 56 batu).
      iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
      iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
      v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5  Contoh Niat :
                       أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى   
   Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala

: Solat Jama'

2.1   Takrifan :
 
Solat Jama’ terbahagi kepada :

      i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
         waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

     ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
        waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’. 

2.2 Syarat Solat Jama’ :
 
2.2.1.Solat Jama’ Taqdim :
 
      i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada
        solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

      ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam
         tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.

      iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.

      iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat
            yang kedua.

      v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib)
           berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’). 

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir :

      i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
      ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat
          yang kedua.  

2.3 Contoh Niat :
 
2.3.1 Jama’ Taqdim :

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat :
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى       
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar :
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
   Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

2.3.2  Jama’ Ta’khir :
 
i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat :
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

ii.  Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar :
 
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

  Sumber rujukan    :  Jakim


 

No comments:

Post a Comment